Friday, May 28, 2021

KONSEP PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA & CIRI-CIRI MURID PEMULIHAN

 KONSEP PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA

    Pengurusan murid pelbagai upaya adalah program pendidikan yang menggunakan kaedah khusus dan sesuai untuk memenuhi keperluan pembangunan fizikal, intelekt, emosi dan sosial individu-individu yang berkeperluan khas dan membincangkan bagaimana menguruskan pelajar dengan keperluan khas. Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan langkah yang diambil untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran. Secara amnya, pengurusan murid pelbagai upaya kebolehan lebih memfokuskan kepada program pendidikan khas untuk pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran secara fizikal atau mental. Pendidikan khas itu sendiri merujuk kepada kursus yang dirancang untuk memenuhi keperluan pendidikan pelajar dengan keperluan khas. Pendidikan khas juga merujuk kepada kaedah, rancangan pendidikan, strategi, kaedah, dan teknik yang digunakan untuk mengajar pelajar berkeperluan khas kerana mereka tidak berupaya untuk mencapai target yang sepatutnya daripada program sekolah aliran perdana.

CIRI-CIRI MURID PEMULIHAN

PEMULIHAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), perkataan “pulih” bermaksud kembali seperti biasa atau kembali dalam keadaan semula. Manakala “pemulihan” pula bermaksud perbuatan memulihkan dan pengembalian kepada keadaan semula. Dalam konteks pelajar pelbagai upaya, pemulihan merujuk kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran. Pembelajaran pemulihan kebiasaannya dikaitkan dengan usaha untuk memperbaiki sesuatu kekurangan atau memperbetulkan sesuatu. Selain itu, menurut Ab. Rahman, et. al. 1997 dalam buku Pengantar Pendidikan Khas karya Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2011), pemulihan merupakan lanngkah-langkah khas yang diusahakan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalahpembelajaran dalam menguasai kemahiran 3M. Mereka ini kemudiannya diberikan program pemulihan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan. Program Pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan bertujuan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Golongan pelbagai upaya ini perlu dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan oleh guru mata pelajaran atau guru bilik darjah dengan langkah-langkah yang sewajarnya.

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia pula, program pemulihan ini dispesifikasikan kepada Program Pemulihan Khas yang dibina untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran, iaitu untuk membantu mereka meguasai kemahiran asas 3M. Menurut Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008 yang diolah oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Pendidikan Khas (2011), murid pemulihan khas didefinisikan sebagai murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif.

Secara kesimpulannya, pemulihan merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif yang diguakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Pelaksanaan program pemulihan ini bermatlamat untuk menghakis jurang perbezaan terutamanya pencapaian murid dalam sesuatu aktiviti. Sekiranya matlamat ini dapat dicapai, golongan pelbagai upaya ini tidak merasa diri mereka disisihkan dan mereka dapat belajar bersama-sama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik dalam kelas.

CIRI-CIRI

Murid-murid pemulihan khas mempunyai pelbagai ciri yang membezakannya dengan pelajar lain dengan tahap pembelajaran normal di dalam kelas.

Ciri-ciri murid pemulihan juga boleh dikelaskan kepada 5 kategori, iaitu emosi dan tingkahlaku, sosial, kesihatan, kesediaan belajar dan pengamatan.

Antara ciri-ciri murid pemulihan khas adalah seperti berikut:

1.  Emosi dan Tingkahlaku

  • Mempunyai perasaan rendah diri dan risau.
  • Mempunyai perasaan sedih, hiba atau duka.
  • Cepat berasa bosan atau jemu terhadap pelajaran.
  • Mempunyai perasaan takut akan perkara-perkara baru.
  • Bersikap degil, tidak patuh pada peraturan-peraturan dan suka melawan.
  • Bersikap pasif.
  • Malas

 2.  Sosial

  • Sentiasa berasa gelisah dan selalu bergerak di dalam bilik darjah serta mengganggu kawan-kawan.
  • Lemah / kurang interaksi dengan rakan.
  • Mempunyai perangai ganjil seperti gemar menghisap atau menggigit jari/kuku.
  •  Selalu tidak hadir ke sekolah dengan berbagai-bagai alasan.
  • Suka berbohong dan kadang-kadang mencuri.
  • Hyper aktif.
3. Kesihatan

  • Tidak bertenaga serta kurang zat makanan.
  • Tumbesaran tubuh badan tidak seimbang (gemuk/kurus).
  • Tumpuan perhatian terhad (masalah penglihatan).
  • Lemah gerakan motor-kasar dan halus.
  • Kesihatan terganggu seperti selalu sakit, sakit terlalu lama dan teruk.
  •  Kurang menjaga kebersihan diri

4. Kesediaan Belajar

  • Belum bersedia untuk belajar.
  • Perbendaharaan kata kurang.
  • Lemah pemahaman.
  • Kurang keyakinan diri dan rangsangan.
  • Kurang matang – IQ tidak seimbang dengan umur hayat.

 5.    Pengamatan

  • Tidak boleh mengenal perbezaan bentuk, saiz, warna dan turutan.
  • Lemah terhadap pendengaran bunyi dan rentak.
  • Keliru terhadap konsep ruang dan mencari arah.
  • Lambat mengelaskan benda atau nombor.
  • Kesukaran mengaitkan pelajaran yang lama dengan yang baru.
  • Tidak dapat menyelesaikan masalah.
  • Sukar mengambil bahagian dalam permainan dan tidak faham undang-undang.
  • Tidak dapat membuat kerja-kerja yang kreatif.
  • Lemah pergerakan dan perbuatan.
  • Lemah daya pemikiran/ingatan.
  • Tidak boleh mengingat kembali apa yang telah dipelajari.
  • Sukar untuk membuat kenyataan am.

RUJUKAN

  1. Chua Tee Tee & Koh Boh Bon. 1992. Pendidikan Khas dan Pemulihan. KualaLumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. Kementerian Pendidikan Malaysia. 1999. Buku Panduan Program Pemulihan Khas(Masalah Penguasaan 3M). Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas
  3. Kementerian Pendidikan Malaysia. 2002. Kajian Perlaksanaan Program PemulihanKhas di Sekolah Rendah. Kertas Kerja Seminar Pendidikan Khas Kebangsaan Ke 2 : Program Pemulihan Khas: Jabatan Pendidikan Khas

No comments:

Post a Comment

文言文